Monday, December 5, 2011

DIFTONG

Diftong ialah gabungan dua bunyi vokal yang dilafazkan secara berterusan dalam satu hembusan nafas. Hal ini seperti demikian kerana bunyi diftong terhasil apabila bunyi satu vokal menggeluncur dengan cepatnya ke suatu vokal lain. Ertinya, lidah pada mulanya diletakkan pada keadaan sebagaimana membunyikan sesuatu vokal, kemudian digeluncurkan ke arah membunyikan vokal yang lain. Diftong dianggap sebagai satu suku kata, dan dilambangkan oleh dua vokal tetapi bertindak sebagai satu fonem.

Ada tiga diftong asli dalam bahasa Melayu, iaitu /ai /,  /au /, dan / oi /.  Semua diftong ini dilafazkan sebagai satu kesatuan bunyi.
Huruf diftong / ai / dilafazkan dengan bunyi
            [ ai ] pada semua kedudukan (suku kata terbuka), contohnya pan.dai, hai.ran.
Huruf diftong / au / dilafazkan dengan bunyi
            [ au ] pada semua kedudukan ( suku kata terbuka), misalnya sau.da.ra, ha.ri.mau.
Huruf diftong / oi / dilafazkan dengan bunyi [ oi ] dan bukan dengan bunyi [   i ] bagi kata jati bahasa Melayu (suku kata terbuka), contohnya:  se.poi, do.doi, dan ka.loi.

Pelbagai teknik yang boleh digunakan untuk mengajar bunyi diftong.  Antaranya ialah dalam proses pengeluaran bunyi-bunyi bahasa, lidah merupakan alat artikulasi (pertuturan) yang paling aktif lagi penting. Murid perlulah diajar terlebih dahulu cara untuk menghasilkan bunyi diftong ai, lidah berkeadaan sebagaimana membunyikan vokal “a”, dan secara cepat geluncurkan lidah ke arah membunyikan vokal “i” pula. Demikian juga halnya cara membunyikan diftong au, dan oi. Kedudukan lidah pada keadaan membunyikan vokal yang pertama, lalu dengan pantasnya lidah digeluncurkan ke arah membunyikan vokal yang kedua pula.

Teknik yang boleh digunakan oleh guru untuk mengajar bunyi diftong ada dengan menggunakan  warna pada suku kata yang mengandungi huruf diftong. Caranya ialah guru akan memaparkan beberapa perkataan yang mempunyai suku kata diftong yang sama menggunakan warna merah.Contohnya, huruf diftong / au / dilafazkan dengan bunyi [ au ] pada semua kedudukan ( suku kata terbuka), misalnya , pi sau, pu sau dan pu lau. Murid akan diajar secara latih tubi membunyikan suku kata tersebut sehingga murid-murid menguasai. Ini kerana penggunaan warna dapat memberi penegasan kepada suku kata yang perlu murid kuasai.

No comments:

Post a Comment