Friday, November 30, 2012

KATA ADJEKTIF


Kata adjektif ialah kata yang berfungsi untuk menerangkan keadaan atau sifat bagi sesuatu kata nama atau frasa nama.

Kata adjektif boleh dikenal pasti apabila sesuatu kata itu boleh menerima kata penguat.  
Kata penguat ada tiga jenis, iaitu kata penguat hadapan  yang hadir sebelum kata adjektif, kata penguat belakang yang hadir selepas kata adjektif, dan penguat bebas yang hadir sebelum atau selepas kata adjektif.

Kata Penguat Hadapan
Kata Penguat Belakang
Kata Penguat Bebas
terlalu, paling, agak, begitu
sekali, benar, nian, betul
amat, sangat, sungguh
Contoh ayat:
·         Pokok di belakang rumah Rahman terlalu rendang.
·         Masakan ibunya paling sedap.
·         Lukisan itu agak cantik.
Contoh ayat:
·        Kelakuan budak-budak itu nakal sekali.
·        Rumah di atas bukit itu cantik betul.
·        Pemandangan di situ indah nian.
Contoh ayat:
·       Pakaian pemuda itu amat kemas.
·       Pakaian pemuda itu kemas amat.
·       Sungai itu dalam sangat.
·       Sungai itu sangat dalam.

1.  Frasa Adjektif yang diperluas.
                Frasa adjektif yang diikuti oleh frasa sendi apabila diperluas.
                Contoh :               Saya gemar lagu-lagu Melayu Asli. (X)
                                                Saya gemar akan lagu-lagu Melayu Asli. (√)
                                                Kami benci sikapnya itu. (X)
                                                Kami benci akan sikapnya itu. (√)

2.  Bentuk Kata Adjektif
  • Kata adjektif tunggal – terdiri daripada satu perkataan. Contohnya : terang, pendek, gemuk.
  • Kata adjektif terbitan -  kata adjektif yang menerima imbuhan awalan, sisipan, akhiran dan apitan.
  • Kata adjektif ganda – bermaksud makna keadaan sifat yang menyeluruh (besar-besar, cantik-cantik.)
  • Kata adjektif majmuk – rangkaian 2 kata dasar atau lebih yang membawa makna tertentu. (merah jambu, hijau daun)

3. Kata Adjektif Terbitan
          i.  Imbuhan Awalan teR-
                Awalan ter- pada kata adjektif berfungsi sebagai penjelasan keadaan perbandingan atau
keadaan ‘paling’.
                Contoh:
                Ali ialah murid yang terkecil  di kelas itu. (paling kecil)
                Alan ialah murid yang terkacak di kelas itu. (paling kacak)

  • Apabila kata adjektif sudah berawalan ‘ter’ maka tidak perlu disertai oleh kata penguat yang lain.
Contoh:
                Zainal mendapat markah paling terbaik. (X)
                Zainal mendapat markah terbaik. (√)
                Ali mendapat markah paling baik. (√)

  • Jika kata adjektif berawalan ter- digunakan, kata penguat belakang tidak boleh hadir.
Contoh :
Stadium inilah yang terbesar sekali. (X)
Stadium inilah yang terbesar. (√)

       ii.    Imbuhan Awalan se-
                Awalan ‘se-‘ dapat menerbitkan kata adjektif yang berfungsi sebagai memberikan pengertian
              ‘sama dengan’.
                Contoh:
                Warna baju itu semerah darah. (sama merah dengan)
                Gadis itu secantik bidadari. (sama cantik dengan)

Kata adjektif awalan ‘se-‘ membawa makna ‘sama dengan’ maka tidak perlu diikuti dengan kata sendi ‘dengan’
Contoh:
                Kereta baharunya tidak secantik dengan kereta abang saya. (X)
                Kereta baharunya tidak secantik kereta abang saya. (√)

       iii.    Apitan ke-...-an
Apitan ke-...-an dapat menerbitkan kata adjektif yang mendukung makna menyerupai sifat atau sama seperti. Oleh itu, penggunaan kata ‘seperti’ sebelum kata adjektif apitan ‘ke-...-an’ adalah salah.
Contoh:
Matanya seperti kemerah-merahan akibat kurang tidur. (X)
Matanya kemerah-merahan akibat kurang tidur. (√)
Pertuturan pemuda itu seperti kearaban selepas pulang dari Jordan. (X)
Pertuturan pemuda itu kearaban selepas pulang dari Jordan. (√)

Apabila kata adjektif mengalami penggandaan, maka kata nama tidak boleh digandakan lagi untuk menunjukkan maksud jamak.

                Contoh:
                Barang-barang yang dijual di kedai itu murah-murah belaka. (X)
                Barang yang dijual di kedai itu murah-murah belaka. (√)





Rumus Penggunaan Kata Adjektif dan Kata Penguat.

Rumus

Ayat Contoh
sangat
amat         +   kata adjektif + sekali
sungguh

Rumah di atas bukit itu sungguh besar sekali.
ter-     +   kata adjektif
Razman merupakan murid yang terpandai di dalam kelasnya.
paling + kata adjektif
Bangunan itu paling tinggi di Malaysia.
paling + ter-  +  kata adjektif
X
Dialah paling tercantik.
paling + kata adjektif  +  sekali
X
Nora paling ayu sekali.

KATA atau PERKATAAN


Soalan:
Apakah perbezaan antara PERKATAAN dengan KATA? Bagaimanakah kita mengira "patah perkataan" dan "patah kata"?
Jawapan:

            Banyak kekeliruan timbul dalam kalangan guru tentang penggunaan istilah perkataan atau kata seperti dalam penulisan karangan, iaitu 350 patah kata atau 350 patah perkataan.
Sebenarnya, kita boleh memilih mana-mana istilah sama ada kata atau perkataan. Dari segi makna, kata ialah ucap, tutur, bicara, cakap, nyata, titah, sabda, firman, lafaz, sebut, ujar, titah, syarah, bahas dan sebagainya. Dari segi tatabahasa, kata dirujuk secara khusus tentang jenis kata seperti kata nama, kata kerja, kata adjektif, kata tugas dan sebagainya.

           Perkataan pula dari segi makna ialah ucapan, tutur kata, lisan, kalimat atau ayat. Perkataan biasanya digunakan untuk menggambarkan kata-kata yang terdapat dalam ayat, perenggan, atau wacana secara umum. Allahyarham Asraf Haji Wahab atau lebih dikenali sebagai Pak Asraf lebih suka menggunakan istilah kata dalam ungkapan `tidak melebihi 120 patah kata’. Hal ini bermakna beliau lebih mementingkan jenis kata bagi memperkatakan kata yang ditulis dalam tulisan tersebut. 

           Bagi panel penulis Tatabahasa Dewan pula, mereka lebih cenderung menggunakan istilah `perkataan’ bagi merujuk perkataan yang ditulis atau diujarkan atau dituturkan oleh seseorang. Oleh itu, mereka lebih selesa menggunakan ungkapan `tidak melebihi 120 patah perkataan’. Oleh hal yang demikian, panel penulis Tatabahasa Dewan lebih mementingkan bilangan perkataan tanpa mengambil kira jenis kata yang terdapat dalam tulisan tersebut.

Kesimpulannya, penulisan karangan, ringkasan dan juga karangan rangsangan sebenarnya bukan kajian tatabahasa. Oleh sebab karangan mementingkan isi, pengolahan dan keindahan bahasa, maka istilah perkataan digunakan. Jika seseorang itu ingin mengkaji jenis kata, maka istilah kata atau patah kata lebih sesuai digunakan. Dengan berdasarkan penjelasan ini, seseorang itu boleh memilih untuk menggunakan ungkapan `patah kata’ atau `patah perkataan’. Oleh sebab kita menggunakan Tabahasa Dewan sebagai rujukan utama di sekolah , maka ungkapan `patah perkataan’ perlulah digunakan.

Thursday, November 29, 2012

GOLONGAN KATA


Perkataan digolongkan dalam beberapa golongan tertentu berdasarkan kriteria struktur fonologi, kriteria struktur morfem, kriteria sintaksis dan kriteria semantik. Lazimnya perkataan digolongkan dalam kriteria sintaksis  dan kriteria semantik.

-          Penggolongan kata boleh juga disebut sebagai kelas kata, kategori  kata dan jenis kata.

-          Perkataan digolongkan kepada beberapa perkataan iaitu:

a) Kata Nama

b) Kata Kerja

c) Kata Adjektif

d) Kata Tugas


1) KATA NAMA
a)     Kata nama am – perkataan yang merujuk benda, perkara atau konsep yang umum  sifatnya.
        Cth:  alam, dunia, cakerawala, pohon, orang, kedamaian, perpindahan.

b)     Kata nama khas- perkataan yang khusus merujuk orang, tempat dan benda.
                                      Huruf awal perkataan ditulis dengan huruf besar. 
                                      Cth: Kuala Lumpur, Masjid Negara,  Amin.
                      
Terbahagi kepada dua:

 i) Kata nama khas hidup   
                       -       manusia. Cth : Jamil
                       -       bukan manusia. Cth: Sang   Kancil 
                                                                                                            
 ii) Kata nama khas tak hidup. Cth: Proton, Ipoh, Tokyo

c)    Kata ganti nama               
       kata ganti nama tunjuk . Cth: itu, ini

       kata ganti nama diri.          
                                                                                                                    

                             Cth: Diri pertama: aku, saya, patik
                                     Diri kedua : anda, awak, engkau

                                     Diri ketiga: dia, mereka, ia, nya


        Kata Ganti Nama diri Tanya. Cth: apa, mana, siapa                                                                 
                                                                                                  

                   * mana-mana, siapa-siapa (Kata ganti tak tentu)  


2) KATA KERJA
    
a) Kata kerja transitif  

- kata kerja yang memerlukan objek

- biasanya imbuhan merujuk kata kerja yang ada imbuhan meN-

- Cth: mengambil bola, menjual sayur, menulis surat.

-terbahagi kepada dua           
           
           i. Kata kerja transitif aktif

           Cth: Ani mencuci pakaian di tepi sungai. 
                                                                                 
           ii.Kata kerja transitif pasif
           Cth: Pakaian itu dicuci oleh Ani di  tepi sungai.



b)   Kata kerja tidak transitif  - Terbahagi kepada dua:   
                        i. Berpelengkap  -          Cth: Adik bermain di padang.                         

                        ii. Tanpa pelengkap (boleh berdiri sendiri tanpa pelengkap.
                                                          Cth: Mereka tidur di hotel.


c) KA -  a)  Kata adjektif sifat        - baik, jahat, cerdik, lemah, kasar , berani, takut    

              b)  Kata adjektif warna      - merah, putih, ungu, jingga, kuning  

              c)  Kata adjektif ukuran     - panjang, pendek, dalam, kerdil,  
              d)  Kata adjektif bentuk     - bulat, buncit, lekuk, pipih,lurus
              f)  Kata adjektif waktu       - lewat, segera, lama, awal, baharu, 

              g)  Kata adjektif cara          - cepat, deras, laju

              h)  Kata adjektif perasaan   -  rindu, berahi, suka, gembira
              i)   Kata adjektif jarak        - jauh, hamper, dekat, nyaris

              j)   Kata adjektif pancaindera (pandang, dengar, bau, rasa, sentuh)

                                                                 - sedap, manis, lazat, kelat
d) KTugas

              a)  Kata hubung   -  dan, sambil, tetapi, yang, bahawa
              b)  Kata seru        -  Aduh!, Aduhai!, Ah!, Amboi!, Eh!
              c)  Kata tanya      -  Mengapakah?, Berapakah?, Bilakah?

              d)  Kata perintah  -  Jangan, Usah, Sila, Jemput, Minta,

              e)  Kata pangkal ayat  - Hatta, maka, syahadan, adapun, alkisah.

              f)  Kata bantu    -  telah, dapat, sudah, pernah

              g)  Kata penguat  terlalu, sangat, amat, sungguh, benar, sekali,

              h)  Kata penegas  lah
              i)   Kata nafi  - bukan, tidak.

              j)   Kata pemeri  ialah, adalah

   k)   Kata sendi nama  di, ke, daripada, pada
              l )   Kata pembenar - benar, betul, ya
              m)  Kata bilangan - dua, lima, tujuh
              n)   Kata arah  utara, selatan, tepi, hadapan, belakang
              o)   Kata adverb  laju, cepat,

              p)   Kata pembenda  Perlahannya, Datangnya, Tingginya

              q)   Kata penekan - sesungguhnya, bahawasanya.

PERBEZAAN FONEM DAN ALOFON


Fonem ialah unit bahasa terkecil yang berfungsi. Satu unit ujaran yang bermakna, atau perkataan, terdiri daripada beberapa unit bunyi, misalnya kata cari. Kata ini terdiri daripada empat unit bunyi, iaitu  c, a, r, i. Unit-unit bunyi ini dipanggil fonem, iaitu unit terkecil yang berfungsi. Jika c diganti dengan j, maka  palu akan bertukar menjadi jari. Oleh itu, c dan j adalah unit terkecil yang berfungsi kerana unit itu membezakan maksud ujaran.

Fonem terdiri daripada anggota fonem yang dipanggil alofon. Alofon juga merupakan kelainan bunyi antara satu sama lain tetapi masih tergolong ke dalam satu fonem. Kelainan bunyi yang tergolong ke dalam satu fonem ini berlaku akibat terpengaruh oleh bunyi tertentu sama ada yang terdahulu atau terkemudian daripadanya.Misalnya, fonem  k, / kadi / daki / paksi>/. Bunyi  k dalam /kadi/ dan  /daki/  diujarkan sebagai letupan bibir yang sempurna, tetapi dalam  /paksi/>,  bunyi  k diujarkan sebagai letupan bibir yang tidak sempurna, yakni tidak diletupkan.

Dengan itu, daripada ketiga-tiga contoh kata di atas, fonem  k  mempunyai dua alofon. Maksudnya bunyi-bunyi alofon tersebut hampir-hampir sama dari segi cara pengucapannya dan juga cara penghasilannya.

FONEM


Fonem ialah bunyi bahasa yang menunjukkan perbezaan erti.  Misalnya kata bayang dan layang.  Bunyinya hampir sama.  Yang berbeza hanya [b] dan [l].  Tentulah bunyi-bunyi ini yang menyebabkan perbezaan erti itu.  Oleh itu /b/ dan /l/ ialah fonem.  Fonem dan transkripsi fonem diletakkan dalam kurungan /  /.

Bunyi-bunyi yang berbeza dalam pasangan kata yang berikut merupakan fonem-fonem yang berasingan.
tabah -  tapah                 tekak -  tegak
sabun -  sabung               baru   -  balu
wang  -  bang                  siang  -  tiang

Pasangan kata yang menunjukkan perbezaan perkataan yang paling kecil tetapi kedua-dua perkataan yang berpasangan itu mempunyai makna yang berlainan, dinamakan pasangan minimal atau pasangan terkecil. Sekiranya pasangan perkataan yang mempunyai perbezaan yang minimal tadi tidak berbeza maknanya, maka bunyi yang berbeza itu bukanlah dua fonem yang berlainan tetapi merupakan alofon dari satu fonem.  Keadaan ini disebut variasi atau kelainan bebas.  Contoh:  /faham/ - /paham/ dan /bilik/ - /bili?/.

Selain daripada pasangan minimal yang dinyatakan di atas , terdapat lagi beberapa contoh yang akan diperjelaskan untuk lebih memberi kefahaman yang mendalam. Contohnya perkataan kaya dan paya. Kedua perkataan ini mempunyai makna yang berbeza, hal ini disebabkan oleh fonem k dan p. 

Fonem seperti apa yang kita harus fahami ialah unit yang terkecil yang dapat membezakan makna. Maka bunyi k dan p merupakan unit-unit terkecil itu yang dapat membezakan makna perkataan kaya dan paya. Maka bunyi k dan p boleh dikategorikan sebagai fonem yang membezakan makna. Oleh itu bunyi k dan p diletakkan dalam kurungan fonem iaitu /k/ dan /p/. 

FAEDAH MEMPELAJARI ILMU FONETIK


Fonetik ialah ilmu bahasa yang berkaitan dengan penyebutan kata dan lambang yang menunjukkan sebutannya. Fonetik mengkaji bunyi-bunyi bahasa yang dituturkan oleh manusia. Manakala Fonologi adalah satu cabang ilmu bahasa yang mengkaji bunyi bahasa yang bermakna itu digunakan secara sistematik untuk membentuk kata atau ujaran Menurut Crystal(1980:268)
Fonologi adalah satu cabang ilmu linguistik yang mengkaji sistem bunyi sesuatu bahasa. Oleh itu, banyak faedah  yang diperolehi  daripada pelajaran fonetik dan fonologi. Antaranya ialah:
a)    Memberi pengetahuan tentang ilmu fonetik dan fonologi bahasa Melayu  untuk diaplikasikan secara praktik.
b)    Mengetahui dan memahami tentang bunyi bahasa dan bukan bunyi bahasa.
c)    Mengetahui dengan lebih jelas bagaimana bunyi-bunyi bahasa dihasilkan dan dituturkan serta mengenali alat-alat artikulasi yang berperanan dalam menghasilkan bunyi-bunyi bahasa.
d)    Apabila pengetahuan telah bertambah tentang ilmu fonetik dan fonologi tentunya membolehkan seseorang pendidik mengenali pelbagai variasi bahasa yang dituturkan oleh murid, dan keadaan ini membolehkan seorang pendidik membetulkan kesilapan dengan tepat dan berkesan serta dapat membimbing murid supaya mahir membunyikan dan menyebut sesuatu  dengan betul.
Fonologi berkaitan dengan pola bunyi bahasa dan bagaimana sesuatu bunyi dalam sesuatu bahasa itu berfungsi. Dari aspek bunyi-bunyi bahasa, fonetik berkaitan dengan fonologi, namun fonetik menekankan bagaimana bunyi-bunyi bahasa dikeluarkan secara fizikal.
Dalam pembelajaran bahasa kanak-kanak, penggunaan kaedah fonetik dapat membantu kanak-kanak membunyikan suku kata dan menggabungkan bunyi-bunyi bahasa menjadi perkataan. Aktiviti bermain dengan abjad, suku kata dan perkataan menggunakan kaedah fonetik sangat sesuai dengan kanak-kanak yang baru mula belajar membaca. Kaedah fonetik membolehkan kanak-kanak membina perkataan daripada bunyi-bunyi bahasa.

KATA ADVERBA


Kata adverba ialah perkataan yang menerangkan kata kerja, kata adjektif, kata nama, dan frasa sendi nama dari segi cara, masa, dan tempat. Sebagai contoh , perhatikan ayat-ayat contoh yang berikut:
1. Kami selalu memperkatakan hal itu.
2. Olahragawan itu sihat sentiasa.
3. Hari jadinya ialah hari esok.
4. Ahli perniagaan itu sering kali ke London.

-Dalam ayat di atas, perkataan selalu,sentiasa,esok, dan sering kali ialah,  kata adverb  kerana masing-masing menerangkan kata kerja memperkatakan, kata adjektif sihat, kata nama hari dan frasa sendi nama ke London.

-Seperti yang kelihatan dalam ayat di atas, kata adverba dapat hadir di hadapan dan di belakang frasa.

-Dalam hal ini, kata  adverba ,tidak dianggap sebagai golongan kata utama, bahkan golongan kata tugas, kerana tidak boleh menjadi unsur inti kepada konstituen frasa predikat, seperti halnya dengan kata nama, kata kerja dan kata adjektif. Ayat-ayat 5,6,7 yang berikut, walaupun Nampak mengandungi kata adverb yang berfungsi sebagai predikat, tetapi sebenarnya ayat-ayat ini merupakan ayat minimal. Ayat minimal bermaksud ayat yang ada bahagiannya telah digugurkan kerana dipengaruhi oleh bahasa lisan.

5. Perhubungannya langsung.
6. Ketibaan mereka esok.
7. Jawapannya demikian.

-Ayat penuh bagi ayat minimal di atas adalah seperti dalam 5(a) – 7(a) yang berikut:

5(a). Perhubungannya secara langsung.
6(a). Ketibaan mereka pada hari esok.
7(a). Jawapannya secara demikian.

-Dalam ayat penuh 5(a) kata adverba langsung menerangkan frasa nama secara, dalam ayat 6(a) kata adverba esokmenerangkan frasa sendi nama  pada hari, dan dalam ayat dan dalam ayat penuh 7(a) kata adverba demikian menerangkan frasa secara, yang menunjukkan bahawa kata adverb tidak boleh menjadi unsur inti bagi predikat.

Sumber Rujukan : Kamus Tatabahasa Dewan ( edisi ketiga)

AKRONIM


Akronim ialah kata singkatan yang terbentuk dengan menggabungkan huruf awal suku kata atau dengan menggabungkan huruf awal dan suku kata daripada rangkai kata, dan ditulis serta dilafazkan sebagai perkataan yang utuh.

Dalam bahasa Melayu, akronim tergolong ke dalam kata tunggal walaupun terbentuk daripada percantuman bunyi-bunyi pertama dalam sejumlah perkataan atau percantuman bahagian-bahagian daripada beberapa patah perkataan.  Pembentukan akronim tidaklah seperti pembentukan kata-kata tunggal yang lain.

Akronim  digolongkan sebagai kata tunggal dan tidak boleh sebagai bentuk Kata yang tersendiri kerana proses pembentukan akronim tidak mempunyai prinsip yang jelas.  Cara pembentukkannya lebih merupakan proses penggabungan dan pembentukan kata nama bagi melahirkan bentuk baharu yang lebih ringkas.  Lazimnya, pembentukan akronim digunakan untuk kata nama khas dan proses pembentukannya agak longgar.  Oleh itu , proses pembentukan perkataan dengan cara ini bukanlah satu kaedah pembentukan perkataan baharu atau istilah yang tepat.

 Dalam buku Tatabahasa Dewan , dinyatakan bahawa akronim dapat dibahagikan kepada kepada empat jenis, iaitu dengan berdasarkan percantuman bahagian perkataan bagi membentuk akronim.

1. Kata akronim cantuman huruf awal perkataan.( LUTH - Lembaga Urusan Tabung Haji)
2. Kata akronim cantuman huruf dan suku kata perkataan sesedap sebutan.
( Intan - Institut Tadbir Awam)
3. Kata nama akronim cantuman suku kata awal perkataan.( jenama- jenis nama)
4 Kata akronim cantuman bahagian awal perkataan pertama dengan bahagian lain dalam perkataan yang mengikutinya (debunga -debu bunga, jenama- jenis nama)

ALOMORF

Dalam Tatabahasa Dewan oleh Karim et al. (2011)awalan meN- mempunyai 4 alomorf, iaitu: me-, men-, mem-, dan meng-. Manakala dalam Nahu Melayu Mutakhir oleh Asmah Hj. Omar dan Morfologi oleh Abdullah Hasan, awalan meN- mengandungi 6 alomorf, iaitu: me-, men-, mem-, meng-, meny- dan menge-.

 Keadaan ini berlaku kerana Awalan meN- menjadi meng- apabila digabungkan dengan kata dasar yang bermula dengan huruf g, gh, kh dan h (bunyi konsonan) dan semua huruf vokal. Menurut Nik Safiah, perkataan pinjaman yang huruf pertamanya huruf k,  tidak akan mengalami pengguguran demi mempertahankan etimologi kata asalnya seperti
 kabul menjadi mengkabul(kan).

Beliau telah mengklasifikasikan menge- dalam penjelasan imbuhan meng-. Imbuhan meng- akan bertukar menjadi menge- apabila diimbuhkan pada kata dasar yang bersuku kata satu, baik perkataan Melayu mahupun kata pinjaman seperti
  cat menjadi mengecat.

Berdasarkan penerangan Nik Safiah Karim, terdapat pengecualian pada kata pinjaman yang bermula dengan gugus konsonan iaitu meng- tidak berubah menjadi menge- seperti
 stor menjadi mengstor

Seperti Nik Safiah Karim, Asmah Haji Omar juga berpendapat bahawa morfem awalan meng-dipengaruhi oleh kata dasar yang bermula dengan huruf k, g, h, kh, gh dan semua vokal. Hanya hurufk yang akan gugur dalam proses penambahan seperti dalam perkataan-perkataan berikut. Asmah Haji Omar dalam bukunya Nahu Melayu Mutakhir (2009, hlm 9), awalan meny- dipengaruhi oleh kata dasar yang bermula dengan s dan c. Dalam proses penambahan, hanya huruf s yang akan gugur seperti
 sesuai menjadi menyesuai.

Tiada pula kata dasar yang bermula dengan huruf c yang menerima imbuhan meny- dalam Kamus Dewan Edisi Keempat. Tiada penjelasan yang diberikan oleh Nik Safiah Karim mengenai imbuhan awalan meny-.