Soalan:
Apakah perbezaan antara PERKATAAN dengan KATA?
Bagaimanakah kita mengira "patah perkataan" dan "patah
kata"?
Jawapan:
Banyak kekeliruan timbul dalam kalangan guru
tentang penggunaan istilah perkataan atau kata seperti dalam penulisan
karangan, iaitu 350 patah kata atau 350 patah perkataan.
Sebenarnya, kita boleh memilih mana-mana istilah
sama ada kata atau perkataan. Dari segi makna, kata ialah ucap, tutur, bicara,
cakap, nyata, titah, sabda, firman, lafaz, sebut, ujar, titah, syarah, bahas
dan sebagainya. Dari segi tatabahasa, kata dirujuk secara khusus tentang jenis
kata seperti kata nama, kata kerja, kata adjektif, kata tugas dan sebagainya.
Perkataan pula dari segi makna ialah ucapan,
tutur kata, lisan, kalimat atau ayat. Perkataan biasanya digunakan untuk
menggambarkan kata-kata yang terdapat dalam ayat, perenggan, atau wacana secara
umum. Allahyarham Asraf Haji Wahab atau lebih dikenali sebagai Pak Asraf lebih
suka menggunakan istilah kata dalam ungkapan `tidak melebihi 120 patah kata’.
Hal ini bermakna beliau lebih mementingkan jenis kata bagi memperkatakan kata
yang ditulis dalam tulisan tersebut.
Bagi panel penulis Tatabahasa Dewan pula,
mereka lebih cenderung menggunakan istilah `perkataan’ bagi merujuk perkataan
yang ditulis atau diujarkan atau dituturkan oleh seseorang. Oleh itu, mereka
lebih selesa menggunakan ungkapan `tidak melebihi 120 patah perkataan’. Oleh
hal yang demikian, panel penulis Tatabahasa Dewan lebih mementingkan bilangan
perkataan tanpa mengambil kira jenis kata yang terdapat dalam tulisan tersebut.
Kesimpulannya, penulisan karangan, ringkasan dan
juga karangan rangsangan sebenarnya bukan kajian tatabahasa. Oleh sebab
karangan mementingkan isi, pengolahan dan keindahan bahasa, maka istilah
perkataan digunakan. Jika seseorang itu ingin mengkaji jenis kata, maka istilah
kata atau patah kata lebih sesuai digunakan. Dengan berdasarkan penjelasan ini,
seseorang itu boleh memilih untuk menggunakan ungkapan `patah kata’ atau `patah
perkataan’. Oleh sebab kita menggunakan Tabahasa Dewan sebagai rujukan utama di
sekolah , maka ungkapan `patah perkataan’ perlulah digunakan.
No comments:
Post a Comment