Thursday, November 29, 2012

FONEM


Fonem ialah bunyi bahasa yang menunjukkan perbezaan erti.  Misalnya kata bayang dan layang.  Bunyinya hampir sama.  Yang berbeza hanya [b] dan [l].  Tentulah bunyi-bunyi ini yang menyebabkan perbezaan erti itu.  Oleh itu /b/ dan /l/ ialah fonem.  Fonem dan transkripsi fonem diletakkan dalam kurungan /  /.

Bunyi-bunyi yang berbeza dalam pasangan kata yang berikut merupakan fonem-fonem yang berasingan.
tabah -  tapah                 tekak -  tegak
sabun -  sabung               baru   -  balu
wang  -  bang                  siang  -  tiang

Pasangan kata yang menunjukkan perbezaan perkataan yang paling kecil tetapi kedua-dua perkataan yang berpasangan itu mempunyai makna yang berlainan, dinamakan pasangan minimal atau pasangan terkecil. Sekiranya pasangan perkataan yang mempunyai perbezaan yang minimal tadi tidak berbeza maknanya, maka bunyi yang berbeza itu bukanlah dua fonem yang berlainan tetapi merupakan alofon dari satu fonem.  Keadaan ini disebut variasi atau kelainan bebas.  Contoh:  /faham/ - /paham/ dan /bilik/ - /bili?/.

Selain daripada pasangan minimal yang dinyatakan di atas , terdapat lagi beberapa contoh yang akan diperjelaskan untuk lebih memberi kefahaman yang mendalam. Contohnya perkataan kaya dan paya. Kedua perkataan ini mempunyai makna yang berbeza, hal ini disebabkan oleh fonem k dan p. 

Fonem seperti apa yang kita harus fahami ialah unit yang terkecil yang dapat membezakan makna. Maka bunyi k dan p merupakan unit-unit terkecil itu yang dapat membezakan makna perkataan kaya dan paya. Maka bunyi k dan p boleh dikategorikan sebagai fonem yang membezakan makna. Oleh itu bunyi k dan p diletakkan dalam kurungan fonem iaitu /k/ dan /p/. 

No comments:

Post a Comment