Monday, December 5, 2011

LINGUA FRANCA

Lingua franca (dari bahasa Itali, bererti bahasa Frank) atau bahasa perantara merupakan bahasa perantaraan yang digunakan secara sistematik untuk tujuan perhubungan antara orang-orang yang tidak sama bahasa ibundanya, khususnya bahasa ketiga yang berbeza dari bahasa ibunda dua belah pihak.  Lingua franca ditakrifkan berdasarkan fungsi, tanpa mengambil kira sejarah atau struktur bahasa itu. Walaupun ada bahasa campuran (pijin dan kreol) yang berperanan sebagai lingua franca, namun kebanyakan lingua franca bukan bahasa campuran. Istilah lingua franca juga memaksudkan bahasa yang dikhususkan dalam bidang tertentu, seperti bahasa Inggeris untuk kajian sains.

            Lingua franca ialah bahasa di kawasan pertembungan bahasa yang intensif, digunakan oleh penutur bahasa daripada pelbagai komuniti sebagai bahasa perantara sepunya semasa berkomunikasi (Hartmann & Stork, 1976).  Sejarahnya bermula daripada akibat perang salib antara kristian di Eropah dan Islam di Asia Barat.  Di Tenggara Asia, bahasa Melayu sebagai lingua franca bersebab daripada fungsinya sebagai bahasa agama (Sanskrit dan Arab klasik) dan bahasa perdagangan yang melakukan ‘butter-trade’. 

Sejarah lingua franca

Sejarah telah membuktikan bahawa bahasa Melayu telah menjadi lingua franca atau bahasa perantaraan di daerah Kepulauan Melayu sejak zaman-berzaman. Hal ini dapat  dibuktikan apabila seorang pengembara China bernama I-Tsing telah singgah di Sriwijaya pada tahun 672 Masihi. Dalam perjalanannya dari China ke India, beliau menyatakan bahawa bahasa Melayu digunakan dengan meluasnya di Palembang.

Francois Valentijn pernah meriwayatkan bahawa kerajaan Melaka menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan antara orang-orang yang tinggal di Kepulauan  Melayu  dengan pedagang-pedagang dari Eropah dan Asia Barat.

Daripada huraian di atas, didapati bahawa bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa lingua franca di  kepulauan Melayu disebabkan bahasa ini mudah dipelajari. Tambahan pula, ianya bersifat sederhana dan tidak terikat kepada susun lapis masyarakat . Justeru itu bahasa Melayu mempunyai sistem yang lebih mudah berbanding bahasa Jawa . Malahan, bahasa Melayu juga  mencatatkan sejarahnya yang tersendiri . Ini terbukti apabila Parlimen telah meluluskan Akta Bahasa Kebangsaan 1967 yang mewajibkan bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa rasmi dalam semua urusan rasmi negara Malaysia menggantikan tempat bahasa Inggeris setelah sepuluh tahun Tanah Semenanjung mendapat kemerdekaannya.

Lanjutan daripada peristiwa itu, pada 1 September 1967 DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah mengisytiharkan bahasa Melayu sebagai bahasa Rasmi Negara yang tunggal bagi Persekutuan Malaysia. Kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tercatat dengan jelas sebagai Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

No comments:

Post a Comment